7,000 unit rumah disita

MAKKAH: Kira-kira 7,000 unit hartanah akan diambil kerajaan dan dirobohkan tahun depan, untuk memberi laluan kepada projek pembesaran Masjidil Haram dan pembangunan bandar suci, menurut laporan akhbar Al-Eqtisadiah, semalam.
“Kira-kira 3,000 unit baru, bernilai lebih SR40 bilion (RM34 bilion) akan disita sebagai sebahagian daripada projek oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah untuk pembangunan kota Makkah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Hartanah Dewan Perniagaan dan Industri Makkah, Mansour Abu Rayyash.
Tambahnya, sejumlah 4,000 rumah lagi akan dirobohkan untuk pembinaan jalan selari di sebelah barat Masjidil Haram.

“Kira-kira 1,300 unit hartanah lagi akan dirobohkan tahun depan selepas penilaian dilakukan untuk memberi laluan kepada pembinaan lingkaran jalan kedua, manakala baki 2,700 rumah, akan dirobohkan untuk projek lingkaran jalan pertama dan projek pembangunan yang lain,” katanya.


Mansour menjelaskan, unit hartanah yang akan disita untuk projek lingkaran jalan kedua adalah yang terletak di kawasan jalan yang bersambung dengan kawasan Al-Biban dan kawasan kedai menjual roti, Al-Kaaki.

“Nilai hartanah di kawasan ini sangat tinggi dan nilai rumah yang akan disita dan dirobohkan, antara SR15 bilion (RM13 bilion) dan SR20 bilion (RM17 bilion),” katanya.

Menurut Mansour lagi, 1,700 unit rumah akan dirobohkan untuk pembinaan lingkaran jalan pertama, loji janakuasa dan kemudahan perkhidmatan lain.

Dia percaya, kelembapan dalam pelaburan hartanah, ketika fasa projek sebelumnya di Makkah, adalah disebabkan oleh tumpuan kepada penyediaan penginapan kepada jemaah haji.

“Pasaran hartanah akan meningkat kerana kerja untuk membangunkan bandar suci yang membawa kepada bajet terbuka,” katanya.

Dia menganggarkan saham pelaburan hartanah akan menjadi kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan di Makkah. - Agensi

KWAP intai hartanah di UK

KUMPULAN Wang Persaraan (KWAP) yang baru-baru ini menyelesaikan pengambilalihan bangunan ASX setinggi 14 tingkat di Sydney, Australia pada harga RM610.5 juta (AU$185 juta) akan terus aktif di dalam pasaran hartanah global.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azian Mohd Noh berkata, selain Australia, United Kingdom adalah satu lagi destinasi pelaburan hartanah berpotensi kepada KWAP.

“KWAP memperuntukkan 4.0 peratus daripada saiz dana atau kira-kira RM3.2 bilion bagi pelaburan hartanah tempatan dan antarabangsa serta ini adalah pengambilalihan kedua KWAP di Australia,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mengenai ASX Building, Azian berkata, ia adalah bangunan pejabat pegangan bebas Gred A yang terletak di sudut Bridge Street dan Pitt Street yang juga daerah kewangan perdana Sydney.

Rehda yakin momentum positif hartanah negara

PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mengunjurkan jualan antara RM30 bilion dan RM35 bilion bagi kediaman baru tahun ini, meningkat sekitar 10 peratus berbanding tahun lalu.
Presidennya, Datuk Seri Michael KC Yam berkata, pihaknya optimis dengan pasaran hartanah di negara ini didorong pertumbuhan positif ekonomi negara.

“Tahun lalu, sektor hartanah mencatatkan transaksi keseluruhan RM100 bilion, manakala bagi enam bulan pertama tahun ini, sebanyak RM60 bilion jualan dicatatkan dengan sebahagian besarnya merangkumi segmen kediaman separuh dan komersial.
“Bagi kediaman baru, tran saksi sebanyak RM30 bilion dicatatkan tahun lalu dan untuk jualan keseluruhan 2011, kami jangkakan pertumbuhan kira-kira 10 peratus,” katanya selepas sesi taklimat media oleh Rehda di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin momentum positif berkenaan akan terus berkekalan sehingga tahun depan.

“Jika tiada sebarang krisis ekonomi, saya menjangkakan sektor hartanah akan terus stabil,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, harga jualan hartanah dijangka akan terus meningkat dalam separuh kedua tahun ini, didorong peningkatan harga bahan asas binaan antaranya batu-bata, besi, simen dan pasir.

“Mengikut Kaji Selidik Industri Hartanah bagi separuh pertama 2011 yang dijalankan Rehda baru-baru ini, 65 peratus daripada responden menjangkakan peningkatan harga sehingga 20 peratus bagi separuh kedua tahun ini,” katanya.

OCBC tawar pinjaman hartanah di London

OCBC Bank (Malaysia) Bhd menawarkan pelanggannya satu kemudahan pinjaman gadai janji baru bagi membiayai pembelian hartanah kediaman di seksyen perdana pusat bandar London, United Kingdom.
Ketua Perkhidmatan Pembiayaan Pengguna OCBC Bank, Charles Sik, dalam satu kenyataan berkata, dengan pengenalan skim baru itu, pelanggan kini boleh melabur dalam hartanah di London tanpa perlu runsing memikirkan kemudahan pinjaman kerana ia ditetapkan dalam kadar tetap ringgit, sambil menjaga daripada risiko tukaran asing.

“Matlamat kami memperkenalkan produk pembiayaan adalah untuk menawarkan sebanyak mungkin pinjaman yang terbaik kepada pelanggan. Harga hartanah London sememangnya sedang meningkat dan kami berasakan sekarang adalah masa terbaik untuk mengambil kesempatan daripada keadaan itu,” katanya.
Menurut Pakar Ekonomi Mata Wang OCBC Bank, Emmanuel Ng, turun naik kadar faedah pertukaran asing adalah kunci kepada penentuan pembelian hartanah di seberang laut dan ringgit dijangka kekal menyokong Pound British Sterling (GBP) dari segi struktur.

“Ringgit berada pada kelompok pertumbuhan Asia dan disokong oleh aliran masuk modal asing ke rantau ini serta pada persekitaran imbangan pembayaran yang baik,” katanya.

Menurutnya, harga hartanah juga menunjukkan kestabilan di mana hartanah di kawasan utama di London meningkat sebanyak satu peratus pada Februari lalu menyumbang kepada peningkatan tahunan sebanyak lapan peratus.

Jin punca rumah terbiar

MAKKAH: Terdapat khabar angin yang tersebar dengan meluas di kalangan penduduk Makkah mengatakan gangguan jin menjadi punca banyak bangunan dan kawasan perumahan ditinggalkan pemiliknya.
Menurut khabar angin, penduduk bangunan berkenaan yang terletak di beberapa daerah di bandar suci terbabit, terutama di pinggir bandar mengatakan mereka membatalkan hasrat menduduki kediaman itu selepas kuasa ghaib mengganggu mereka. Namun, terdapat pendapat berbeza di kalangan penduduk setempat. Kebanyakan mereka mengesahkan kehadiran sesuatu yang misteri di bangunan berkenaan. Keadaan ini mendorong sebilangan pemilik menjual hartanah mereka pada harga rendah. Terdapat juga laporan mengatakan sesetengah ejen hartanah menjadi dalang kepada khabar angin itu.

Penduduk, Muhammad Bazaid berkata, mudah untuk mengenal pasti bangunan terbiar yang sudah dihuni kuasa ghaib.
“Sesetengah bangunan dan hartanah di bandar raya ini dikenali dihuni jin. Penduduk sering mengatakan demikian,” katanya yang mendakwa keadaan itu dieksploitasi sesetengah ejen hartanah. “Mereka yang menyebarkan khabar angin itu dan meletakkan harga rendah pada hartanah itu. Kemudian mereka cuba membelinya pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Majdi Habeeb memberitahu Arab News terdapat beberapa bangunan dan rumah tinggal di bandar raya ini selepas penghuni mendakwa diganggu jin.

Krisis hutang Eropah punca harga rumah di UK merudum

HARGA hartanah kediaman di United Kingdom (UK) dijangka merudum tahun ini susulan ketidaktentuan ekonomi dicetuskan krisis hutang kedaulatan di negara Eropah yang meningkatkan jumlah pengangguran dan melemahkan keyakinan pelabur.

Kos purata kediaman di negara itu jatuh 0.2 peratus pada Disember 2011 berbanding bulan sebelumnya, iaitu kejatuhan bulanan pertama sejak Ogos, manakala nilainya dijangka jatuh lagi pada 2012 ini, demikian menurut Nationwide Building Society.
Permintaan terhadap hartanah kediaman lemah pada 2010 kerana bank mengetatkan syarat pinjaman, manakala warga Britain menerima kesan daripada pengurangan perbelanjaan kerajaan serta peningkatan cukai bertujuan mengurangkan defisit bajet.
Nationwide berkata, ekonomi UK berkemungkinan berkembang kurang satu peratus pada 2012 dan persekitaran pasaran buruh pula akan kekal mencabar.

“Perangkaan ekonomi mengukuhkan lagi pandangan kami bahawa harga akan jatuh sekitar lima peratus pada 2012,” kata Howard Archer, Ahli Ekonomi di IHS Global Insight di London.

“Jika krisis zon euro gagal reda beberapa bulan akan datang atau bertambah buruk lagi, ia akan menyebabkan ekonomi UK menanggung penguncupan ketara, menambah pengangguran dan memberikan kesan kepada harga rumah,” katanya.

Sementara krisis zon euro mengancam pemulihan ekonomi UK, Bank of England mengembangkan program pembelian bon sebanyak £75 bilion (AS$116 bilion) kepada £275 bilion 6 Oktober 2011.
Bank pusat itu juga mengekalkan kadar faedah utama pada paras terendah 0.5 peratus.

“Kemungkinan besar pembuat dasar tidak menaikkan kos pinjaman sebelum separuh kedua 2013 dan berkemungkinan mengekalkannya sehingga 2014,” kata Archer.

Saham Eropah berubah-ubah, dengan Indeks Stoxx Europe 600 menuju ke arah kejatuhan tahunan pertama dalam tiga tahun.

Nilai pasaran saham dunia kehilangan AS$6.3 trilion tahun ini berikutan krisis hutang dan kelembapan ekonomi.

Perangkaan terkini menunjukkan sektor pembuatan China menguncup untuk bulan kedua Disember kerana pengurangan permintaan eksport.

Indeks pengurusan pembelian berada pada 48.7 Disember berbanding 47.7 November, kata HSBC Holdings Plc. Bacaan di bawah 50 menunjukkan penguncupan.

“2012 dijangka lebih buruk berbanding 2011, untuk ekonomi UK atau pasaran kediaman,” kata Ketua Ahli Ekonomi Nationwide, Robert Gardner dalam satu laporan.

Sementara itu, Royal Institution of Chartered Surveyor dan penyelidik hartanah Hometrack Ltd berkata, nilai hartanah UK dijangka jatuh tiga peratus pada 2012, manakala Lloyd’s Banking Group Plc menjangka kejatuhan lebih dua peratus. – Agensi

Portal HomeGuru salur maklumat miliki rumah

HOMEGURU Sdn Bhd, syarikat yang memperkenalkan portal hartanah HomeGuru (www.homeguru.com.my) komited membantu ejen hartanah dan orang ramai yang ingin memiliki kediaman apabila merancang melabur kira-kira RM15 juta bagi tujuan pemasaran portal itu di negara ini dalam tempoh tiga tahun.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steve Melhuish berkata, menerusi portal HomeGuru, orang ramai mudah menggunakan semua maklumat disediakan di dalam laman terbabit.

Katanya, walaupun portal itu baru diperkenalkan Januari lalu, namun sambutan diterima sangat menggalakkan, malah seramai 5,000 ejen sudah berdaftar dengan lebih 50,000 hartanah ditawarkan kepada orang ramai.
“Kami akan memberi tumpuan terhadap pengiklanan dan promosi di semua media massa bagi memperkenalkan HomeGuru di seluruh negara. Kami tidak hanya fokus kepada hartanah di ibu kota, tetapi lebih menyeluruh dan paling penting orang ramai berpeluang meninjau atau membeli hartanah di luar negara.

“Malah syarikat utama HomeGuru iaitu AllProperty Media Pte Ltd adalah peneraju jaringan portal hartanah di Asia dan mempunyai rakan kerjasama dengan tujuh negara seperti Singapura, Indonesia, Hong Kong, India, Australia dan Macau,” katanya.