Maxis sedia FTTH untuk BU

PENERAJU penyedia perkhidmatan komunikasi, Maxis Berhad (Maxis) menandatangani perjanjian dengan pemaju perumahan, Bandar Utama Development (BU) untuk menyediakan perkhidmatan penyelesaian Fiber Terus ke Rumah (Fiber to the Home) (FTTH) bagi penduduk Kondominium 9 Bukit Utama yang terletak di Bandar Utama, Selangor.
Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Maxis Home, Harold Quek berkata, syarikatnya teruja menjadi pembekal pilihan BU One dalam menyediakan perkhidmatan gentian Internet bagi Kondominium 9 Bukit Utama, sebuah hartanah mewah yang diuruskan BU One.

Pasangan dibenar lantik peguam selesai kes hartanah bernilai lebih RM600,000

KUALA LUMPUR: Kes membabitkan pasangan suami isteri, Abang Yusof Abang Daud, 36, dan isterinya, Normaszura Abu Bakar, 31, yang mendakwa diperdaya seorang penyanyi terkenal dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi selepas berjaya mendapatkan kebenaran Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) untuk melantik peguam bagi mewakili mereka.
Perkara itu dimaklumkan Sukarelawan Peguam (SukaGuam) yang diwakili Rezal Mazli Abdul Muin selepas pertemuan empat mata bersama peguam penyanyi terbabit dan pihak bank bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kes itu yang berlarutan sejak lapan tahun lalu.

Rezal Mazli berkata, berdasarkan perbincangan hampir dua jam itu, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat bagi hartanah bernilai lebih RM600,000 yang didakwa sudah diserahkan kepada adik penyanyi itu sebagai pemegang amanah.
“Lelongan hartanah itu dijadualkan 14 Mac depan dan jika ia dilelong, kemungkinan kita dapat menyelesaikan hutang,” katanya.

Naza TTDI teroka hartanah Bertam

NAZA TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI), syarikat di bawah Kumpulan Naza (Naza Group), terus komited meluaskan projek pembangunan hartanahnya apabila merancang menerokai pasaran hartanah di Bertam, Pulau Pinang.
Namun, projek hartanah bercampur berkenaan masih di peringkat perancangan pelan induk yang belum dapat dikenal pasti nilai pembangunan kasar (GDV) dan sasaran tempoh siap dibina.

Timbalan Eksekutif Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulannya, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, projek pembangunan hartanah bercampur itu dijangka meliputi segmen kediaman dan komersial termasuk kawasan industri dan institusi pendidikan apabila siap dibina kelak.
“Projek itu mempunyai keluasan 337.5 hektar dijangka menarik lebih ramai pembeli kerana dilengkapi pelbagai segmen hartanah dan dijangka menawarkan harga bermula RM600,000 bagi segmen kediaman.

“Selain itu, Bertam adalah projek alternatif kepada pembeli untuk memiliki aset hartanah kerana kadar harga jualannya masih berbanding di negeri lain,” katanya pada majlis memperkenalkan pelan induk berkenaan dan mengumumkan pemenang anugerah reka bentuk pelan induk Bertam yang dianjurkan bersama Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) di Kuala Lumpur.

Anugerah itu yang dinamakan Bertam Master Plan & Creative Ideas menerima 32 penyertaan di peringkat awal dan hanya enam disenarai pendek untuk ke peringkat akhir bagi merebut hadiah utama RM100,000.

53 pemaju tawar pemilikan hartanah untuk Bumiputera

KUALA LUMPUR: Hartanah Bumiputera (BPEX) 2011 anjuran MMC Sdn Bhd (MMC) bakal menawarkan harga kediaman berpatutan sekitar RM79,000 hingga RM1.1 bilion dalam pameran di Pusat Pameran Mid Valley, bermula semalam hingga esok.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zainudin Tala berkata, melalui pameran itu orang awam, Bumiputera dapat mencari tempat kediaman bersesuaian. Zainudin berkata, pameran dijalankan bertujuan memelihara status pemilikan hartanah Bumiputera selari Dasar Wawasan Negara supaya pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor hartanah meningkat.

Beliau berkata, 53 pemaju hartanah dan perumahan terbabit dalam pameran itu dan memberikan komitmen menggalakkan dalam mempromosikan lot Bumiputera antaranya MK Land, Sunway, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Lebar Daun dan Glomac. “Kerajaan amat mengharapkan Bumiputera peka dalam pelaburan harta tanah terutamanya sekitar Lembah Klang mencontohi kaum lain yang mula melabur dan mempunyai rumah sendiri pada usia muda,” katanya ketika sidang media, di sini, semalam. Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu, pemaju perumahan hendaklah mengambil inisiatif lebih serius dalam mempromosikan unit kuota Bumiputera.

Taman di belakang beri kelebihan

LOKASI strategik menjadi faktor pilihan utama. Ia memberi kemudahan kepada pembeli bergerak ke mana saja tanpa bimbang kesesakan lalu lintas dan kesibukan kota.
Kawasan itu berdekatan sekolah, hospital atau klinik kesihatan, balai polis, bank, bengkel kereta, stesen LRT, stesen bas, kedai makanan dan pasar raya menjadi faktor pilihan kepada ramai pembeli.

Disebabkan itulah nilai rumah naik memuncak. Bergantung kepada pasaran anda, kemudahan sekolah, hospital, tadika atau pusat sukan pasti berbeza.

Beri tumpuan kepada aspek kehijauan landskap jika sesuai dengan latar kediaman. Anda mendapat kelebihan jika belakang rumah mempunyai taman.


Lebih menarik jika depan rumah itu menghadap taman, tasik atau hutan simpan. Ia memang suasana menakjubkan dan dapat memberi ketenangan selepas penat seharian bekerja.

Dari segi kemudahan pengangkutan pula, ia mendorong kepada pembangunan di sesebuah kawasan.

Pengangkutan awam paling popular masa kini ialah transit aliran ringan dan ia sekaligus menaikkan nilai hartanah di sekitarnya.


Pusat komersial

Jenis perniagaan juga mencerminkan masyarakat atau kejiranan sesuatu kawasan.
Perumahan yang memiliki penduduk dengan daya membeli yang tinggi berpotensi untuk naik nilainya.


Pemaju

Percaya atau tidak, rekod kerja pemaju dalam pembinaan projek hartanah menjadi kayu ukur nilai hartanah itu tinggi.

Kebiasaannya hartanah daripada pemaju kelas A sedikit tinggi berbanding yang lain, namun mutu dan kualiti projeknya amatlah memuaskan.

Hal ini tidak bermakna pemaju yang kurang terkenal tidak mampu membina rumah-rumah yang bagus.


Elak kawasan terpencil

Kawasan terpencil boleh dikatakan seperti hujung kampung dan ia sukar mendapat permintaan.

Nilai perumahannya boleh naik tetapi perlu mengambil masa yang lama. Jika ingin melabur dalam hartanah sedemikian anda mesti berani mengambil risiko.

Kesimpulannya, hartanah adalah sumber terbesar kerana ia memberi kebaikan dalam aliran tunai anda setiap bulan.

Harga hartanah berpotensi untuk naik.

Rehda harap minimum

PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berharap kerajaan tidak membuat banyak perubahan sistem ke atas sektor perumahan dalam Bajet 2012.
Presidennya, Datuk Seri Micheal Yam berkata, pihaknya berasakan sistem sedia ada sudah bersesuaian dan bimbang jika perubahan kerap dibuat setiap kali pengumuman bajet ia akan memberi kesan ke atas persepsi pelabur domestik dan antarabangsa untuk membuat pembelian ke atas aset kekal terbabit.

“Ini kerana pembeli mempunyai strategi membuat pelaburan membabitkan kadar kestabilan segmen cukai dan pelaburan hartanah. Apabila berlaku, ketidakstabilan ini akan mempengaruhi kadar peningkatan pelabur luar kerana persepsi pembeli domestik yang menanti keputusan baru daripada kerajaan ketika itu.
“Dengan adanya sistem sekarang ini, pemain industri boleh merancang untuk melaksanakannya secara berterusan dan membolehkan pelaburan dilaksanakan tanpa dipengaruhi sebarang perubahan sistem yang kerap. Sekiranya ingin membuat sebarang perubahan ia perlu dilaksanakan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya selepas merasmikan forum Rumusan Hijau Untuk Pembangunan Hartanah di Kuala Lumpur. Micheal berkata, Rehda turut berharap kerajaan menyemak semula syarat skim perumahan kos rendah dan menimbang semula melepaskan unit hartanah Bumiputera yang tidak terjual bagi membolehkan segmen hartanah Malaysia menjadi pasaran yang digerakkan oleh permintaan.

Kekal hutan

DAMANSARA: “Hutan adalah aset penting dan sejajar hasrat ini kita mahu kawasan hutan di Damansara Damai dikekal serta diwartakan sebagai kawasan hijau,” kata Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad (MK Land), Tan Sri Mustapha Kamal, selepas menyerahkan hutan taman bandar (Urban Park) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Menurut Mustapha, kawasan hijau itu yang merangkumi Urban Park 1, 2, 3 dan 4 seluas 17.9 hektar di Damansara Damai adalah usaha MK Land dalam memelihara alam sekitar seiring pembangunan hartanah yang dijalankan pihaknya sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, penyerahan kawasan hutan itu sebagai sokongan terhadap usaha MBPJ yang turut menekankan kepentingan memelihara hutan, terutama di kalangan generasi muda dan kawasan bandar.

“Pada masa kini kita melihat kawasan hutan semakin berkurangan hanya untuk membina projek hartanah dan bagaikan tiada inisiatif untuk mengekalkannya,” katanya.