Bina Puri sasar lancar 8 projek hartanah RM1.2 bilion

BINA Puri Holdings Bhd, menerusi cabang perniagaan pembangunan hartanahnya, menyasar untuk melancarkan lapan projek perumahan dan komersial dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1.2 bilion tahun ini.

Langkah itu sejajar dengan sasarannya meningkatkan sumbangan segmen perniagaan pembangunan hartanah kepada jumlah pendapatannya kepada 50 peratus dalam tempoh lima tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Matthew Tee, berkata menerusi pembabitan lebih aktif tahun ini, syarikat menjangkakan segmen perniagaan pembangunan hartanah mampu menyumbang antara 15 peratus hingga 20 peratus kepada pendapatan kumpulan itu dalam tahun kewangan semasa.
Beliau berkata, kini sumbangan segmen perniagaan itu hanya sekitar dua hingga tiga peratus, dengan majoritinya masih lagi disumbangkan segmen perniagaan kejuruteraan, iaitu lebih 90 peratus.

“Semua projek perumahan yang akan dilancarkan pada tahun ini adalah di Lembah Klang, Subang Jaya, Puchong dan Kota Kinabalu. Hanya satu projek komersial yang bakal dilancarkan selewat-lewatnya suku ketiga tahun ini iaitu Medini Square di Medini Iskandar, Johor Bahru.

“Segmen ini membantu kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif bagi tahun kewangan tahun ini tanpa mengharapkan sepenuhnya sumbangan pendapatan daripada projek berkaitan kejuruteraan,” katanya kepada Berita Harian, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara projek hartanah kediaman yang bakal dilancarkan syarikat itu tahun ini ialah Laman Vila @ Mon’t Kiara North, Subang; Puri Tower @ Puchong; Taipan Square @ USJ 21 Subang Jaya, Petrie Vila @ Johor Baru; Jesselton View @ Kota Kinabalu dan One Jasselton @ Kepayan.
Mengulas prospek sektor hartanah tahun ini, Tee berkata, dalam tempoh terdekat kediaman berharga RM500,000 ke bawah masih memiliki prospek permintaan yang baik walaupun dalam persekitaran ekonomi yang lembap.

Katanya, prospek pasaran yang kukuh juga dapat dilihat bagi pasaran hartanah bertanah khususnya bagi kategori mewah berharga antara RM500,000 hingga RM800,000.

“Walaupun Bina Puri turut terbabit dalam segmen hartanah mewah tahun ini, namun ia adalah kecil dan kami sudah pun mempunyai permintaan bagi beberapa unit kediaman terbabit.

“Selain hartanah mewah, syarikat juga menumpukan kepada pembangunan hartanah berharga sederhana, dan jika berpeluang akan terus meninjau kawasan berpotensi untuk dibangunkan dengan rumah jenis teres berikutan permintaan tinggi bagi kediaman sedemikian,” katanya.