E&O lancar projek termewah hari ini

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Pemaju hartanah, Eastern & Oriental Bhd. (E&O) bakal melancarkan kondominium mewah terbaharu, Andaman at Quayside di Pulau Pinang esok.
E&O dalam kenyataannya di sini berkata, kondominium mewah yang menghadap laut Andaman itu dijangka menjadi kediaman paling mewah di Pulau Pinang.
Terletak di kawasan seluas 8.4 hektar, Andaman didirikan dengan konsep penginapan terbaik di pulau tersebut dengan 75 peratus daripada keseluruhan kediaman (suites) dibina menghadap laut dan juga kawasan terkenal di Pulau Pinang, Persiaran Gurney.
Pembangunan yang menjadi mercu tanda E&O ini terdiri daripada 60 peratus kawasan hijau dan rekreasi termasuk 1.8 hektar taman air dan 2.76 hektar taman yang menghijau.
Dilengkapi dengan gedung runcit Straits Quay yang hanya terletak di sebelahnya, Andaman menawarkan nilai terbaik bagi pemilik yang mahu merasai pengalaman dan gaya hidup berserta hiburan di tepi pantai.
"Andaman at Quayside terletak di antara pembangunan terbesar menghadap laut di Pulau Pinang dan merupakan kediaman yang menjadi idaman setiap orang.
Ia sangat berhampiran dengan kelompok banglo dan vila-vila serta gedung runcit Straits Quay, jadi bayangkan bagaimana anda disapa oleh deruan ombak dan pemandangan indah setiap kali bangun pagi," kata Timbalan Pengarah Urusannya, Eric Chan.
Setiap unit mempunyai keluasan berbeza iaitu bagi suite satu bilik tidur yang sebesar 1,128 kaki persegi berharga sekurang-kurangnya RM1.416 juta sehinggalah yang paling mahal, penthouse seluas 4,755 kaki persegi.
Terdapat juga pilihan suite yang mempunyai 1+1, dua dan tiga bilik dengan keluasan masing-masing 1,188 kaki persegi, 2,047 kaki persegi dan 2,776 kaki persegi.
Tambah Chan, lokasi Andaman yang strategik dengan nilai yang sangat menguntungkan dijangka mampu menarik pembeli tempatan dan antarabangsa.
Tambah beliau, pembeli antarabangsa terutamanya akan melihat kediaman mewah ini sangat berbaloi dari segi harga dan nilai.