Hartanah: Kenaikan harga jadi kebimbangan

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Harga yang baik dan halangan yang sedikit menjadikan Malaysia pasaran menarik bagi pemilikan hartanah bukan sahaja di kalangan pembeli tempatan tetapi juga asing, kata Ketua Pegawai Eksekutif iProperty Group Ltd Shaun Di Gregorio.
Beliau berkata, kebimbangan utama di pasaran hartanah Malaysia hari ini ialah peningkatan harga.
"Selain harga, pembeli juga melahirkan kebimbangan terhadap dasar pembiayaan rumah, kadar faedah, pemaju melakukan kesilapan dan kualiti rumah selepas siap," katanya semasa mengumumkan hasil Laporan Sentimen Pasaran Hartanah Asia iProperty.com Asia 2012, di sini, hari ini.
Sejumlah 3,459 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik dalam talian yang dikendalikan oleh laman web hartanah nombor satu negara.
Di Gregorio berkata, memandangkan keadaan tidak menentu ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat, pengguna boleh menjangkakan kelembapan dalam subsektor hartanah kediaman mewah tahun ini apabila pelabur berpotensi dijangka kekal berhati-hati.
"Namun begitu, hartanah di Malaysia jelas sekali lebih murah berbanding pasaran lain di rantau ini tetapi dijangka meningkat dalam tempoh dekad akan datang.
"Peserta kaji selidik Malaysia yakin dengan pasaran hartanah dan pada masa yang sama berhati-hati dengan kemungkinan gelembung," katanya. — BERNAMA