Taman di belakang beri kelebihan

LOKASI strategik menjadi faktor pilihan utama. Ia memberi kemudahan kepada pembeli bergerak ke mana saja tanpa bimbang kesesakan lalu lintas dan kesibukan kota.
Kawasan itu berdekatan sekolah, hospital atau klinik kesihatan, balai polis, bank, bengkel kereta, stesen LRT, stesen bas, kedai makanan dan pasar raya menjadi faktor pilihan kepada ramai pembeli.

Disebabkan itulah nilai rumah naik memuncak. Bergantung kepada pasaran anda, kemudahan sekolah, hospital, tadika atau pusat sukan pasti berbeza.

Beri tumpuan kepada aspek kehijauan landskap jika sesuai dengan latar kediaman. Anda mendapat kelebihan jika belakang rumah mempunyai taman.


Lebih menarik jika depan rumah itu menghadap taman, tasik atau hutan simpan. Ia memang suasana menakjubkan dan dapat memberi ketenangan selepas penat seharian bekerja.

Dari segi kemudahan pengangkutan pula, ia mendorong kepada pembangunan di sesebuah kawasan.

Pengangkutan awam paling popular masa kini ialah transit aliran ringan dan ia sekaligus menaikkan nilai hartanah di sekitarnya.


Pusat komersial

Jenis perniagaan juga mencerminkan masyarakat atau kejiranan sesuatu kawasan.
Perumahan yang memiliki penduduk dengan daya membeli yang tinggi berpotensi untuk naik nilainya.


Pemaju

Percaya atau tidak, rekod kerja pemaju dalam pembinaan projek hartanah menjadi kayu ukur nilai hartanah itu tinggi.

Kebiasaannya hartanah daripada pemaju kelas A sedikit tinggi berbanding yang lain, namun mutu dan kualiti projeknya amatlah memuaskan.

Hal ini tidak bermakna pemaju yang kurang terkenal tidak mampu membina rumah-rumah yang bagus.


Elak kawasan terpencil

Kawasan terpencil boleh dikatakan seperti hujung kampung dan ia sukar mendapat permintaan.

Nilai perumahannya boleh naik tetapi perlu mengambil masa yang lama. Jika ingin melabur dalam hartanah sedemikian anda mesti berani mengambil risiko.

Kesimpulannya, hartanah adalah sumber terbesar kerana ia memberi kebaikan dalam aliran tunai anda setiap bulan.

Harga hartanah berpotensi untuk naik.