Rehda harap minimum

PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berharap kerajaan tidak membuat banyak perubahan sistem ke atas sektor perumahan dalam Bajet 2012.
Presidennya, Datuk Seri Micheal Yam berkata, pihaknya berasakan sistem sedia ada sudah bersesuaian dan bimbang jika perubahan kerap dibuat setiap kali pengumuman bajet ia akan memberi kesan ke atas persepsi pelabur domestik dan antarabangsa untuk membuat pembelian ke atas aset kekal terbabit.

“Ini kerana pembeli mempunyai strategi membuat pelaburan membabitkan kadar kestabilan segmen cukai dan pelaburan hartanah. Apabila berlaku, ketidakstabilan ini akan mempengaruhi kadar peningkatan pelabur luar kerana persepsi pembeli domestik yang menanti keputusan baru daripada kerajaan ketika itu.
“Dengan adanya sistem sekarang ini, pemain industri boleh merancang untuk melaksanakannya secara berterusan dan membolehkan pelaburan dilaksanakan tanpa dipengaruhi sebarang perubahan sistem yang kerap. Sekiranya ingin membuat sebarang perubahan ia perlu dilaksanakan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya selepas merasmikan forum Rumusan Hijau Untuk Pembangunan Hartanah di Kuala Lumpur. Micheal berkata, Rehda turut berharap kerajaan menyemak semula syarat skim perumahan kos rendah dan menimbang semula melepaskan unit hartanah Bumiputera yang tidak terjual bagi membolehkan segmen hartanah Malaysia menjadi pasaran yang digerakkan oleh permintaan.