MAKKAH: Terdapat khabar angin yang tersebar dengan meluas di kalangan
penduduk Makkah mengatakan gangguan jin menjadi punca banyak bangunan
dan kawasan perumahan ditinggalkan pemiliknya.
Menurut khabar angin, penduduk bangunan berkenaan yang terletak di
beberapa daerah di bandar suci terbabit, terutama di pinggir bandar
mengatakan mereka membatalkan hasrat menduduki kediaman itu selepas
kuasa ghaib mengganggu mereka. Namun, terdapat pendapat berbeza di
kalangan penduduk setempat. Kebanyakan mereka mengesahkan kehadiran
sesuatu yang misteri di bangunan berkenaan. Keadaan ini mendorong
sebilangan pemilik menjual hartanah mereka pada harga rendah. Terdapat
juga laporan mengatakan sesetengah ejen hartanah menjadi dalang kepada
khabar angin itu.
Penduduk, Muhammad Bazaid berkata, mudah untuk mengenal pasti bangunan terbiar yang sudah dihuni kuasa ghaib.
“Sesetengah bangunan dan hartanah di bandar raya ini dikenali dihuni
jin. Penduduk sering mengatakan demikian,” katanya yang mendakwa keadaan
itu dieksploitasi sesetengah ejen hartanah. “Mereka yang menyebarkan
khabar angin itu dan meletakkan harga rendah pada hartanah itu. Kemudian
mereka cuba membelinya pada harga lebih rendah berbanding harga
pasaran,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Majdi Habeeb
memberitahu Arab News terdapat beberapa bangunan dan rumah tinggal di
bandar raya ini selepas penghuni mendakwa diganggu jin.