Kekal hutan

DAMANSARA: “Hutan adalah aset penting dan sejajar hasrat ini kita mahu kawasan hutan di Damansara Damai dikekal serta diwartakan sebagai kawasan hijau,” kata Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad (MK Land), Tan Sri Mustapha Kamal, selepas menyerahkan hutan taman bandar (Urban Park) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Menurut Mustapha, kawasan hijau itu yang merangkumi Urban Park 1, 2, 3 dan 4 seluas 17.9 hektar di Damansara Damai adalah usaha MK Land dalam memelihara alam sekitar seiring pembangunan hartanah yang dijalankan pihaknya sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, penyerahan kawasan hutan itu sebagai sokongan terhadap usaha MBPJ yang turut menekankan kepentingan memelihara hutan, terutama di kalangan generasi muda dan kawasan bandar.

“Pada masa kini kita melihat kawasan hutan semakin berkurangan hanya untuk membina projek hartanah dan bagaikan tiada inisiatif untuk mengekalkannya,” katanya.