Maxis sedia FTTH untuk BU

PENERAJU penyedia perkhidmatan komunikasi, Maxis Berhad (Maxis) menandatangani perjanjian dengan pemaju perumahan, Bandar Utama Development (BU) untuk menyediakan perkhidmatan penyelesaian Fiber Terus ke Rumah (Fiber to the Home) (FTTH) bagi penduduk Kondominium 9 Bukit Utama yang terletak di Bandar Utama, Selangor.
Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Maxis Home, Harold Quek berkata, syarikatnya teruja menjadi pembekal pilihan BU One dalam menyediakan perkhidmatan gentian Internet bagi Kondominium 9 Bukit Utama, sebuah hartanah mewah yang diuruskan BU One.

Pasangan dibenar lantik peguam selesai kes hartanah bernilai lebih RM600,000

KUALA LUMPUR: Kes membabitkan pasangan suami isteri, Abang Yusof Abang Daud, 36, dan isterinya, Normaszura Abu Bakar, 31, yang mendakwa diperdaya seorang penyanyi terkenal dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi selepas berjaya mendapatkan kebenaran Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) untuk melantik peguam bagi mewakili mereka.
Perkara itu dimaklumkan Sukarelawan Peguam (SukaGuam) yang diwakili Rezal Mazli Abdul Muin selepas pertemuan empat mata bersama peguam penyanyi terbabit dan pihak bank bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kes itu yang berlarutan sejak lapan tahun lalu.

Rezal Mazli berkata, berdasarkan perbincangan hampir dua jam itu, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat bagi hartanah bernilai lebih RM600,000 yang didakwa sudah diserahkan kepada adik penyanyi itu sebagai pemegang amanah.
“Lelongan hartanah itu dijadualkan 14 Mac depan dan jika ia dilelong, kemungkinan kita dapat menyelesaikan hutang,” katanya.

Naza TTDI teroka hartanah Bertam

NAZA TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI), syarikat di bawah Kumpulan Naza (Naza Group), terus komited meluaskan projek pembangunan hartanahnya apabila merancang menerokai pasaran hartanah di Bertam, Pulau Pinang.
Namun, projek hartanah bercampur berkenaan masih di peringkat perancangan pelan induk yang belum dapat dikenal pasti nilai pembangunan kasar (GDV) dan sasaran tempoh siap dibina.

Timbalan Eksekutif Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulannya, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, projek pembangunan hartanah bercampur itu dijangka meliputi segmen kediaman dan komersial termasuk kawasan industri dan institusi pendidikan apabila siap dibina kelak.
“Projek itu mempunyai keluasan 337.5 hektar dijangka menarik lebih ramai pembeli kerana dilengkapi pelbagai segmen hartanah dan dijangka menawarkan harga bermula RM600,000 bagi segmen kediaman.

“Selain itu, Bertam adalah projek alternatif kepada pembeli untuk memiliki aset hartanah kerana kadar harga jualannya masih berbanding di negeri lain,” katanya pada majlis memperkenalkan pelan induk berkenaan dan mengumumkan pemenang anugerah reka bentuk pelan induk Bertam yang dianjurkan bersama Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) di Kuala Lumpur.

Anugerah itu yang dinamakan Bertam Master Plan & Creative Ideas menerima 32 penyertaan di peringkat awal dan hanya enam disenarai pendek untuk ke peringkat akhir bagi merebut hadiah utama RM100,000.

53 pemaju tawar pemilikan hartanah untuk Bumiputera

KUALA LUMPUR: Hartanah Bumiputera (BPEX) 2011 anjuran MMC Sdn Bhd (MMC) bakal menawarkan harga kediaman berpatutan sekitar RM79,000 hingga RM1.1 bilion dalam pameran di Pusat Pameran Mid Valley, bermula semalam hingga esok.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zainudin Tala berkata, melalui pameran itu orang awam, Bumiputera dapat mencari tempat kediaman bersesuaian. Zainudin berkata, pameran dijalankan bertujuan memelihara status pemilikan hartanah Bumiputera selari Dasar Wawasan Negara supaya pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor hartanah meningkat.

Beliau berkata, 53 pemaju hartanah dan perumahan terbabit dalam pameran itu dan memberikan komitmen menggalakkan dalam mempromosikan lot Bumiputera antaranya MK Land, Sunway, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Lebar Daun dan Glomac. “Kerajaan amat mengharapkan Bumiputera peka dalam pelaburan harta tanah terutamanya sekitar Lembah Klang mencontohi kaum lain yang mula melabur dan mempunyai rumah sendiri pada usia muda,” katanya ketika sidang media, di sini, semalam. Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu, pemaju perumahan hendaklah mengambil inisiatif lebih serius dalam mempromosikan unit kuota Bumiputera.

Taman di belakang beri kelebihan

LOKASI strategik menjadi faktor pilihan utama. Ia memberi kemudahan kepada pembeli bergerak ke mana saja tanpa bimbang kesesakan lalu lintas dan kesibukan kota.
Kawasan itu berdekatan sekolah, hospital atau klinik kesihatan, balai polis, bank, bengkel kereta, stesen LRT, stesen bas, kedai makanan dan pasar raya menjadi faktor pilihan kepada ramai pembeli.

Disebabkan itulah nilai rumah naik memuncak. Bergantung kepada pasaran anda, kemudahan sekolah, hospital, tadika atau pusat sukan pasti berbeza.

Beri tumpuan kepada aspek kehijauan landskap jika sesuai dengan latar kediaman. Anda mendapat kelebihan jika belakang rumah mempunyai taman.


Lebih menarik jika depan rumah itu menghadap taman, tasik atau hutan simpan. Ia memang suasana menakjubkan dan dapat memberi ketenangan selepas penat seharian bekerja.

Dari segi kemudahan pengangkutan pula, ia mendorong kepada pembangunan di sesebuah kawasan.

Pengangkutan awam paling popular masa kini ialah transit aliran ringan dan ia sekaligus menaikkan nilai hartanah di sekitarnya.


Pusat komersial

Jenis perniagaan juga mencerminkan masyarakat atau kejiranan sesuatu kawasan.
Perumahan yang memiliki penduduk dengan daya membeli yang tinggi berpotensi untuk naik nilainya.


Pemaju

Percaya atau tidak, rekod kerja pemaju dalam pembinaan projek hartanah menjadi kayu ukur nilai hartanah itu tinggi.

Kebiasaannya hartanah daripada pemaju kelas A sedikit tinggi berbanding yang lain, namun mutu dan kualiti projeknya amatlah memuaskan.

Hal ini tidak bermakna pemaju yang kurang terkenal tidak mampu membina rumah-rumah yang bagus.


Elak kawasan terpencil

Kawasan terpencil boleh dikatakan seperti hujung kampung dan ia sukar mendapat permintaan.

Nilai perumahannya boleh naik tetapi perlu mengambil masa yang lama. Jika ingin melabur dalam hartanah sedemikian anda mesti berani mengambil risiko.

Kesimpulannya, hartanah adalah sumber terbesar kerana ia memberi kebaikan dalam aliran tunai anda setiap bulan.

Harga hartanah berpotensi untuk naik.

Rehda harap minimum

PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berharap kerajaan tidak membuat banyak perubahan sistem ke atas sektor perumahan dalam Bajet 2012.
Presidennya, Datuk Seri Micheal Yam berkata, pihaknya berasakan sistem sedia ada sudah bersesuaian dan bimbang jika perubahan kerap dibuat setiap kali pengumuman bajet ia akan memberi kesan ke atas persepsi pelabur domestik dan antarabangsa untuk membuat pembelian ke atas aset kekal terbabit.

“Ini kerana pembeli mempunyai strategi membuat pelaburan membabitkan kadar kestabilan segmen cukai dan pelaburan hartanah. Apabila berlaku, ketidakstabilan ini akan mempengaruhi kadar peningkatan pelabur luar kerana persepsi pembeli domestik yang menanti keputusan baru daripada kerajaan ketika itu.
“Dengan adanya sistem sekarang ini, pemain industri boleh merancang untuk melaksanakannya secara berterusan dan membolehkan pelaburan dilaksanakan tanpa dipengaruhi sebarang perubahan sistem yang kerap. Sekiranya ingin membuat sebarang perubahan ia perlu dilaksanakan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya selepas merasmikan forum Rumusan Hijau Untuk Pembangunan Hartanah di Kuala Lumpur. Micheal berkata, Rehda turut berharap kerajaan menyemak semula syarat skim perumahan kos rendah dan menimbang semula melepaskan unit hartanah Bumiputera yang tidak terjual bagi membolehkan segmen hartanah Malaysia menjadi pasaran yang digerakkan oleh permintaan.

Kekal hutan

DAMANSARA: “Hutan adalah aset penting dan sejajar hasrat ini kita mahu kawasan hutan di Damansara Damai dikekal serta diwartakan sebagai kawasan hijau,” kata Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad (MK Land), Tan Sri Mustapha Kamal, selepas menyerahkan hutan taman bandar (Urban Park) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Menurut Mustapha, kawasan hijau itu yang merangkumi Urban Park 1, 2, 3 dan 4 seluas 17.9 hektar di Damansara Damai adalah usaha MK Land dalam memelihara alam sekitar seiring pembangunan hartanah yang dijalankan pihaknya sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, penyerahan kawasan hutan itu sebagai sokongan terhadap usaha MBPJ yang turut menekankan kepentingan memelihara hutan, terutama di kalangan generasi muda dan kawasan bandar.

“Pada masa kini kita melihat kawasan hutan semakin berkurangan hanya untuk membina projek hartanah dan bagaikan tiada inisiatif untuk mengekalkannya,” katanya.

7,000 unit rumah disita

MAKKAH: Kira-kira 7,000 unit hartanah akan diambil kerajaan dan dirobohkan tahun depan, untuk memberi laluan kepada projek pembesaran Masjidil Haram dan pembangunan bandar suci, menurut laporan akhbar Al-Eqtisadiah, semalam.
“Kira-kira 3,000 unit baru, bernilai lebih SR40 bilion (RM34 bilion) akan disita sebagai sebahagian daripada projek oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah untuk pembangunan kota Makkah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Hartanah Dewan Perniagaan dan Industri Makkah, Mansour Abu Rayyash.
Tambahnya, sejumlah 4,000 rumah lagi akan dirobohkan untuk pembinaan jalan selari di sebelah barat Masjidil Haram.

“Kira-kira 1,300 unit hartanah lagi akan dirobohkan tahun depan selepas penilaian dilakukan untuk memberi laluan kepada pembinaan lingkaran jalan kedua, manakala baki 2,700 rumah, akan dirobohkan untuk projek lingkaran jalan pertama dan projek pembangunan yang lain,” katanya.


Mansour menjelaskan, unit hartanah yang akan disita untuk projek lingkaran jalan kedua adalah yang terletak di kawasan jalan yang bersambung dengan kawasan Al-Biban dan kawasan kedai menjual roti, Al-Kaaki.

“Nilai hartanah di kawasan ini sangat tinggi dan nilai rumah yang akan disita dan dirobohkan, antara SR15 bilion (RM13 bilion) dan SR20 bilion (RM17 bilion),” katanya.

Menurut Mansour lagi, 1,700 unit rumah akan dirobohkan untuk pembinaan lingkaran jalan pertama, loji janakuasa dan kemudahan perkhidmatan lain.

Dia percaya, kelembapan dalam pelaburan hartanah, ketika fasa projek sebelumnya di Makkah, adalah disebabkan oleh tumpuan kepada penyediaan penginapan kepada jemaah haji.

“Pasaran hartanah akan meningkat kerana kerja untuk membangunkan bandar suci yang membawa kepada bajet terbuka,” katanya.

Dia menganggarkan saham pelaburan hartanah akan menjadi kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan di Makkah. - Agensi

KWAP intai hartanah di UK

KUMPULAN Wang Persaraan (KWAP) yang baru-baru ini menyelesaikan pengambilalihan bangunan ASX setinggi 14 tingkat di Sydney, Australia pada harga RM610.5 juta (AU$185 juta) akan terus aktif di dalam pasaran hartanah global.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azian Mohd Noh berkata, selain Australia, United Kingdom adalah satu lagi destinasi pelaburan hartanah berpotensi kepada KWAP.

“KWAP memperuntukkan 4.0 peratus daripada saiz dana atau kira-kira RM3.2 bilion bagi pelaburan hartanah tempatan dan antarabangsa serta ini adalah pengambilalihan kedua KWAP di Australia,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mengenai ASX Building, Azian berkata, ia adalah bangunan pejabat pegangan bebas Gred A yang terletak di sudut Bridge Street dan Pitt Street yang juga daerah kewangan perdana Sydney.

Rehda yakin momentum positif hartanah negara

PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mengunjurkan jualan antara RM30 bilion dan RM35 bilion bagi kediaman baru tahun ini, meningkat sekitar 10 peratus berbanding tahun lalu.
Presidennya, Datuk Seri Michael KC Yam berkata, pihaknya optimis dengan pasaran hartanah di negara ini didorong pertumbuhan positif ekonomi negara.

“Tahun lalu, sektor hartanah mencatatkan transaksi keseluruhan RM100 bilion, manakala bagi enam bulan pertama tahun ini, sebanyak RM60 bilion jualan dicatatkan dengan sebahagian besarnya merangkumi segmen kediaman separuh dan komersial.
“Bagi kediaman baru, tran saksi sebanyak RM30 bilion dicatatkan tahun lalu dan untuk jualan keseluruhan 2011, kami jangkakan pertumbuhan kira-kira 10 peratus,” katanya selepas sesi taklimat media oleh Rehda di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga yakin momentum positif berkenaan akan terus berkekalan sehingga tahun depan.

“Jika tiada sebarang krisis ekonomi, saya menjangkakan sektor hartanah akan terus stabil,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, harga jualan hartanah dijangka akan terus meningkat dalam separuh kedua tahun ini, didorong peningkatan harga bahan asas binaan antaranya batu-bata, besi, simen dan pasir.

“Mengikut Kaji Selidik Industri Hartanah bagi separuh pertama 2011 yang dijalankan Rehda baru-baru ini, 65 peratus daripada responden menjangkakan peningkatan harga sehingga 20 peratus bagi separuh kedua tahun ini,” katanya.

OCBC tawar pinjaman hartanah di London

OCBC Bank (Malaysia) Bhd menawarkan pelanggannya satu kemudahan pinjaman gadai janji baru bagi membiayai pembelian hartanah kediaman di seksyen perdana pusat bandar London, United Kingdom.
Ketua Perkhidmatan Pembiayaan Pengguna OCBC Bank, Charles Sik, dalam satu kenyataan berkata, dengan pengenalan skim baru itu, pelanggan kini boleh melabur dalam hartanah di London tanpa perlu runsing memikirkan kemudahan pinjaman kerana ia ditetapkan dalam kadar tetap ringgit, sambil menjaga daripada risiko tukaran asing.

“Matlamat kami memperkenalkan produk pembiayaan adalah untuk menawarkan sebanyak mungkin pinjaman yang terbaik kepada pelanggan. Harga hartanah London sememangnya sedang meningkat dan kami berasakan sekarang adalah masa terbaik untuk mengambil kesempatan daripada keadaan itu,” katanya.
Menurut Pakar Ekonomi Mata Wang OCBC Bank, Emmanuel Ng, turun naik kadar faedah pertukaran asing adalah kunci kepada penentuan pembelian hartanah di seberang laut dan ringgit dijangka kekal menyokong Pound British Sterling (GBP) dari segi struktur.

“Ringgit berada pada kelompok pertumbuhan Asia dan disokong oleh aliran masuk modal asing ke rantau ini serta pada persekitaran imbangan pembayaran yang baik,” katanya.

Menurutnya, harga hartanah juga menunjukkan kestabilan di mana hartanah di kawasan utama di London meningkat sebanyak satu peratus pada Februari lalu menyumbang kepada peningkatan tahunan sebanyak lapan peratus.

Jin punca rumah terbiar

MAKKAH: Terdapat khabar angin yang tersebar dengan meluas di kalangan penduduk Makkah mengatakan gangguan jin menjadi punca banyak bangunan dan kawasan perumahan ditinggalkan pemiliknya.
Menurut khabar angin, penduduk bangunan berkenaan yang terletak di beberapa daerah di bandar suci terbabit, terutama di pinggir bandar mengatakan mereka membatalkan hasrat menduduki kediaman itu selepas kuasa ghaib mengganggu mereka. Namun, terdapat pendapat berbeza di kalangan penduduk setempat. Kebanyakan mereka mengesahkan kehadiran sesuatu yang misteri di bangunan berkenaan. Keadaan ini mendorong sebilangan pemilik menjual hartanah mereka pada harga rendah. Terdapat juga laporan mengatakan sesetengah ejen hartanah menjadi dalang kepada khabar angin itu.

Penduduk, Muhammad Bazaid berkata, mudah untuk mengenal pasti bangunan terbiar yang sudah dihuni kuasa ghaib.
“Sesetengah bangunan dan hartanah di bandar raya ini dikenali dihuni jin. Penduduk sering mengatakan demikian,” katanya yang mendakwa keadaan itu dieksploitasi sesetengah ejen hartanah. “Mereka yang menyebarkan khabar angin itu dan meletakkan harga rendah pada hartanah itu. Kemudian mereka cuba membelinya pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Majdi Habeeb memberitahu Arab News terdapat beberapa bangunan dan rumah tinggal di bandar raya ini selepas penghuni mendakwa diganggu jin.

Krisis hutang Eropah punca harga rumah di UK merudum

HARGA hartanah kediaman di United Kingdom (UK) dijangka merudum tahun ini susulan ketidaktentuan ekonomi dicetuskan krisis hutang kedaulatan di negara Eropah yang meningkatkan jumlah pengangguran dan melemahkan keyakinan pelabur.

Kos purata kediaman di negara itu jatuh 0.2 peratus pada Disember 2011 berbanding bulan sebelumnya, iaitu kejatuhan bulanan pertama sejak Ogos, manakala nilainya dijangka jatuh lagi pada 2012 ini, demikian menurut Nationwide Building Society.
Permintaan terhadap hartanah kediaman lemah pada 2010 kerana bank mengetatkan syarat pinjaman, manakala warga Britain menerima kesan daripada pengurangan perbelanjaan kerajaan serta peningkatan cukai bertujuan mengurangkan defisit bajet.
Nationwide berkata, ekonomi UK berkemungkinan berkembang kurang satu peratus pada 2012 dan persekitaran pasaran buruh pula akan kekal mencabar.

“Perangkaan ekonomi mengukuhkan lagi pandangan kami bahawa harga akan jatuh sekitar lima peratus pada 2012,” kata Howard Archer, Ahli Ekonomi di IHS Global Insight di London.

“Jika krisis zon euro gagal reda beberapa bulan akan datang atau bertambah buruk lagi, ia akan menyebabkan ekonomi UK menanggung penguncupan ketara, menambah pengangguran dan memberikan kesan kepada harga rumah,” katanya.

Sementara krisis zon euro mengancam pemulihan ekonomi UK, Bank of England mengembangkan program pembelian bon sebanyak £75 bilion (AS$116 bilion) kepada £275 bilion 6 Oktober 2011.
Bank pusat itu juga mengekalkan kadar faedah utama pada paras terendah 0.5 peratus.

“Kemungkinan besar pembuat dasar tidak menaikkan kos pinjaman sebelum separuh kedua 2013 dan berkemungkinan mengekalkannya sehingga 2014,” kata Archer.

Saham Eropah berubah-ubah, dengan Indeks Stoxx Europe 600 menuju ke arah kejatuhan tahunan pertama dalam tiga tahun.

Nilai pasaran saham dunia kehilangan AS$6.3 trilion tahun ini berikutan krisis hutang dan kelembapan ekonomi.

Perangkaan terkini menunjukkan sektor pembuatan China menguncup untuk bulan kedua Disember kerana pengurangan permintaan eksport.

Indeks pengurusan pembelian berada pada 48.7 Disember berbanding 47.7 November, kata HSBC Holdings Plc. Bacaan di bawah 50 menunjukkan penguncupan.

“2012 dijangka lebih buruk berbanding 2011, untuk ekonomi UK atau pasaran kediaman,” kata Ketua Ahli Ekonomi Nationwide, Robert Gardner dalam satu laporan.

Sementara itu, Royal Institution of Chartered Surveyor dan penyelidik hartanah Hometrack Ltd berkata, nilai hartanah UK dijangka jatuh tiga peratus pada 2012, manakala Lloyd’s Banking Group Plc menjangka kejatuhan lebih dua peratus. – Agensi

Portal HomeGuru salur maklumat miliki rumah

HOMEGURU Sdn Bhd, syarikat yang memperkenalkan portal hartanah HomeGuru (www.homeguru.com.my) komited membantu ejen hartanah dan orang ramai yang ingin memiliki kediaman apabila merancang melabur kira-kira RM15 juta bagi tujuan pemasaran portal itu di negara ini dalam tempoh tiga tahun.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Steve Melhuish berkata, menerusi portal HomeGuru, orang ramai mudah menggunakan semua maklumat disediakan di dalam laman terbabit.

Katanya, walaupun portal itu baru diperkenalkan Januari lalu, namun sambutan diterima sangat menggalakkan, malah seramai 5,000 ejen sudah berdaftar dengan lebih 50,000 hartanah ditawarkan kepada orang ramai.
“Kami akan memberi tumpuan terhadap pengiklanan dan promosi di semua media massa bagi memperkenalkan HomeGuru di seluruh negara. Kami tidak hanya fokus kepada hartanah di ibu kota, tetapi lebih menyeluruh dan paling penting orang ramai berpeluang meninjau atau membeli hartanah di luar negara.

“Malah syarikat utama HomeGuru iaitu AllProperty Media Pte Ltd adalah peneraju jaringan portal hartanah di Asia dan mempunyai rakan kerjasama dengan tujuh negara seperti Singapura, Indonesia, Hong Kong, India, Australia dan Macau,” katanya.

PHB majukan tapak Unilever

 
BEKAS tapak kilang Unilever di persimpangan Jalan Bangsar serta Jalan Maarof bakal dimajukan dengan nilai pembangunan kasar RM5 bilion.

 UEM Group sahkan hantar bidaan bangun hartanah 7.6 hektar di Bangsar
SATU lagi projek hartanah bernilai berbilion ringgit akan dibangunkan di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Projek itu akan dimajukan di bekas tapak kilang Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd di persimpangan Jalan Bangsar serta Jalan Maarof yang sebelum ini dimiliki Perbadanan Aset Keretapi (PAK).

Pemilik baru tanah berkenaan, iaitu Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd (PHB) akan membuat pengumuman rasmi mengenai projek itu selepas melantik pemaju yang sesuai pada separuh pertama tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, tawaran tender bagi pembangunan projek di tanah seluas 7.6 hektar itu sudah pun dikeluarkan kepada beberapa syarikat yang layak sekitar tahun lalu.

“PHB bagaimanapun masih belum memutuskan syarikat yang dipilih, namun jika semuanya berjalan lancar, pengumuman rasmi mengenai perlantikannya serta jenis projek dan tempoh pembangunannya akan dibuat dalam separuh pertama 2012 ini,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam.
Difahamkan antara syarikat yang dipelawa mengemukakan tender bagi pembangunan tanah berkenaan ialah anak syarikat hartanah UEM Group, UEM Land Holdings Bhd, Mah Sing Group Bhd dan Land & General Bhd (L&G).

Sementara itu, sumber industri berkata, projek yang dianggarkan akan memiliki nilai pembangunan kasar kira-kira RM5 bilion itu bakal membabitkan pembangunan bercampur yang antara lain meliputi apartmen servis mewah, menara pejabat serta rangkaian peruncitan itu.

Katanya, projek itu juga akan menepati deraf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, selain turut menjadi pelengkap kepada beberapa projek hartanah lain yang akan turut dibangunkan di kawasan berhampirannya, termasuk KL Eco City dan Setia Federal Hill yang akan dimajukan SP Setia Bhd.

PHB yang ditubuhkan pada 2005 kebelakangan ini dilihat makin aktif melabur dan menambah pemilikan hartanahnya dengan yang terbaru termasuk pembelian Hospital Pakar DEMC di Shah Alam, Selangor.

Anak syarikat milik Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera itu juga turut memiliki beberapa hartanah di beberapa lokasi utama di sekitar Lembah Klang seperti Nu Sentral di KL Sentral, Tesco Setia Alam, dan Menara Bumiputra Commerce di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Pembelian dan pelaburan PHB dalam hartanah berkenaan bertujuan mempelbagaikan portfolio hartanahnya dalam Amanah Hartanah Bumiputera, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai Bumiputera meraih manfaat daripada potensi pelaburan dalam hartanah di lokasi strategik.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah memasuki tender bagi pembangunan projek berkenaan, namun sehingga kini masih lagi belum menerima maklum balas daripada pemilik projek berkenaan.

“Kami sudah memasuki tender bagi memajukan projek di tanah itu, tetapi kami masih belum menerima sebarang maklum balas,” katanya. Mah Sing dan L&G, bagaimanapun gagal dihubungi.