Buat persediaan awal untuk membeli harta kediaman

SAYA berusia 30 tahun dan mempunyai pendapatan kasar sebanyak RM3,500 sebulan. Oleh sebab, usia semakin meningkat, saya merancang untuk membeli rumah kediaman. Dengan pendapatan itu setelah ditolak ansuran kereta dan kos sara hidup, baki pendapatan boleh guna adalah RM2,000. Jadi dengan jumlah itu, berapakah harga rumah yang layak untuk saya pohon untuk tempoh 25 tahun pinjaman?
- Shara Ibrahim, Balik Pulau.
Bagi kebanyakan orang, membeli hartanah kediaman ialah keputusan kewangan paling penting yang dibuat sepanjang hayat. Justeru persediaan awal amat digalakkan. Harga kediaman yang mampu dibeli bergantung pada dua faktor: (1) berapa banyak yang boleh dipinjam; (2) jumlah wang pendahuluan yang mampu dibayar.
Bank lazimnya menggunakan nisbah yang dinamakan nisbah pembayaran hutang atau nisbah liputan hutang sebagai sebahagian daripada proses meluluskan pinjaman. Pada amnya, ini merupakan nisbah ansuran pinjaman berbanding pendapatan bersih anda.
Nisbah ini dan formula sebenar berbeza mengikut bank. Pendapatan bersih ialah pendapatan kasar selepas ditolak cukai, caruman KWSP dan ansuran untuk semua pinjaman lain seperti hutang, pinjaman kereta, kad kredit dan pinjaman peribadi. Dalam situasi Cik Shara, daripada gaji kasar RM3,500, pendapatan bersihnya diperolehi setelah ditolak cukai, KWSP dan sebarang ansuran lain yang perlu dibayar.
Secara konservatif, jika kami mengandaikan pembiaya menetapkan nisbah pembayaran hutang 50 peratus berasaskan pendapatan bersih, ini bermakna ansuran yang dibayar tidak harus melebihi 50 peratus daripada pendapatan bersih anda. Jika pendapatan bersih Cik Shara ialah RM2,000, ansuran pinjaman maksimum anda ialah 50 peratus daripada RM2,000, iaitu bersamaan RM1,000 sebulan.
Andaikan Cik Shara mahu mendapatkan pembiayaan perumahan 25 tahun pada kadar pembiayaan BFR - 2.30 peratus setahun (BFR kini 6.60 peratus), anda boleh mengambil pinjaman kira-kira RM180,000.
Justeru, hartanah yang boleh dimiliki adalah jumlah pinjaman RM180,000 dan wang pendahuluan yang dapat dikumpulkan. Pada usia Cik Shara, beliau boleh memanjangkan lagi tempoh pinjaman, yang membolehkannya meningkatkan jumlah pinjaman kepada RM200,000.
Untuk hartanah pertama, pembeli boleh mendapatkan pinjaman sehingga 90 peratus daripada nilai hartanah. Ini bermakna anda perlu memperuntukkan wang pendahuluan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada nilai hartanah. Berasaskan jumlah pinjaman RM180,000, jika margin pembiayaan anda ialah 90 peratus daripada nilai hartanah, maka nilai hartanah ialah RM200,000. Maka wang pendahuluan berjumlah RM20,000 diperlukan.
Untuk lebih kepastian, anda boleh mengumpulkan wang sebanyak 20 peratus daripada nilai hartanah kerana anda mungkin tidak dapat memperoleh pinjaman sehingga 90 peratus. Wang tersebut juga boleh digunakan untuk menanggung sebarang kos sampingan membeli hartanah.
Bagi sesetengah orang, mereka memerlukan masa untuk mengumpulkan wang pendahuluan. Justeru, anda perlu memupuk tabiat pengurusan kewangan yang berdisiplin sebelum membeli rumah.
Anda bukan sahaja perlu memberi tumpuan menabung seberapa banyak wang yang mungkin sebagai pendahuluan, tetapi hendaklah membayar hutang lain terutamanya hutang kad kredit. Hutang lain akan mengehadkan jumlah yang boleh anda pinjam.
Harus diingat bahawa pendapatan bersih yang digunakan untuk menentukan ansuran pinjaman maksimum dikurangkan oleh bayaran pinjaman lain. Lebih banyak pinjaman yang anda ada, lebih rendah pendapatan bersih anda.
Nasihat akhir kami kepada anda: membeli hartanah ialah satu keputusan yang penting. Anda perlu mula membuat persiapan awal daripada segi kewangan.
Pastikan rekod kad kredit anda adalah bersih dan jelaskan seberapa banyak hutang yang mungkin untuk melayakkan diri menerima pinjaman. Buat persediaan untuk mengumpulkan wang pendahuluan jika anda masih belum berbuat demikian.