IOI menang bida tanah 2.44 hektar di Singapura

IOI Corporation Bhd mengukuhkan lagi kehadirannya di pasaran hartanah Singapura apabila memenangi bidaan bagi membeli tanah seluas 2.44 hektar di Jalan Lempeng, Singapura pada harga S$408 juta (RM995.5 juta).

Bidaan itu dimenangi menerusi anak syarikatnya yang berpangkalan di republik itu, Multi Wealth (Singapore) Pte Ltd.
IOI Corporation dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam berkata, ia bercadang memajukan tanah pajakan selama 99 tahun itu dengan projek kediaman yang mengandungi unit kondominium.
“Nilai dan anggaran kos bagi pembangunan projek pembangunan itu belum ditetapkan kerana ia masih pada peringkat perancangan,” katanya sambil menambah urus niaga pembelian tanah itu akan diselesaikan menjelang Jun ini dan ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan itu pada masa depan.

Konglomerat itu menjelaskan, tanah yang terletak di kawasan kediaman matang, Clementi itu berada di kedudukan strategik kerana berhampiran dengan sekolah, institusi pengajian tinggi dan pusat beli-belah seperti Clementi Mall, West End Plaza dan IMM serta stesen Transit Aliran Massa (MRT).

Katanya pihaknya optimistik dengan prospek projek kediaman yang akan dibangunkannya itu kerana ia bukan saja mampu menarik pembeli dari luar, malah di kalangan penduduk sedia ada kawasan berkenaan yang menginginkan rumah kediaman lebih baik.

“Pembelian tanah ini menawarkan peluang kepada IOI Corporation mengembangkan lagi produk hartanah yang kami tawarkan kepada penduduk Singapura.
“Kami optimis terhadap prospek jangka sederhana dan panjang pasaran hartanah serta ekonomi Singapura dengan mengambil kira statusnya sebagai bandar raya antarabangsa,” katanya.

Pembangunan hartanah adalah antara empat bidang perniagaan teras Kumpulan IOI.

Antara projek utamanya ialah Bandar Puteri Puchong di Puchong dan IOI Resort City di Putrajaya.

Konglomerat perladangan itu juga mempunyai beberapa projek hartanah di Singapura termasuk Seascape@Sentosa Cove dan Cityscape@Farrer Park.