AP lancar skim faedah hartanah pertama

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Avenue Properties Bhd. (AP) melancarkan skim faedah hartanah pertama negara, Avenue Hotel Property Scheme (APHS), yang menawarkan pulangan tetap tahunan sebanyak tujuh peratus dalam 14 tahun pertama daripada tempoh selama 35 tahun.
Skim itu melibatkan hartanah Nusa Butterworth yang menawarkan 130 bilik, di Raja Uda, kawasan perniagaan yang pesat membangun di Butterworth. Ia akan memulakan pembinaan pada Mac dan dijadual siap pada suku pertama 2013.
"Orang ramai dipelawa melabur RM4,800 untuk setiap bahagian faedah," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Richard Woo, sambil menambah mulai tempoh 15 tahun hingga 35 tahun, kadar pulangan tahunan akan berubah-ubah dengan jaminan pulangan modal apabila matang.
"Skim ini menawarkan pendedahan risiko paling rendah memandangkan ia tidak mempunyai halangan kewangan dan disokong oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (CCM)," katanya pada pelancaran skim itu di sini hari ini.
Woo berkata, skim itu berdaya tahan terhadap perubahan pasaran, tiada yuran tersembunyi dan dikawal oleh pemegang amanah.
Pengarah Pemasaran dan Komunikasinya, Khong Yue Chen berkata, bagi mematuhi syarat dan garis panduan CCM, kami juga melantik pemegang amanah untuk AHPS.
"Bagi mendapat keyakinan orang ramai untuk melabur dalam skim ini, saya rasakan mereka perlu melihat kemajuan pembinaan hotel ini.
"Kami menjangkakan ia mungkin menjana minat orang ramai, yang buat pertama kali dalam sejarah skim faedah, mengutamakan semua pertimbangan risiko untuk pelabur berpotensi, dan merupakan skim yang paling telus," kata Woo.
Avenue Properties, dengan modal RM5 juta, diwujudkan menerusi 10,500 faedah hartanah AHPS dengan hanya 7,350 faedah akan digunakan untuk langganan awam. - BERNAMA