Naza TTDI teroka hartanah Bertam

NAZA TTDI Sdn Bhd (Naza TTDI), syarikat di bawah Kumpulan Naza (Naza Group), terus komited meluaskan projek pembangunan hartanahnya apabila merancang menerokai pasaran hartanah di Bertam, Pulau Pinang.
Namun, projek hartanah bercampur berkenaan masih di peringkat perancangan pelan induk yang belum dapat dikenal pasti nilai pembangunan kasar (GDV) dan sasaran tempoh siap dibina.

Timbalan Eksekutif Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulannya, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, projek pembangunan hartanah bercampur itu dijangka meliputi segmen kediaman dan komersial termasuk kawasan industri dan institusi pendidikan apabila siap dibina kelak.
“Projek itu mempunyai keluasan 337.5 hektar dijangka menarik lebih ramai pembeli kerana dilengkapi pelbagai segmen hartanah dan dijangka menawarkan harga bermula RM600,000 bagi segmen kediaman.

“Selain itu, Bertam adalah projek alternatif kepada pembeli untuk memiliki aset hartanah kerana kadar harga jualannya masih berbanding di negeri lain,” katanya pada majlis memperkenalkan pelan induk berkenaan dan mengumumkan pemenang anugerah reka bentuk pelan induk Bertam yang dianjurkan bersama Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) di Kuala Lumpur.

Anugerah itu yang dinamakan Bertam Master Plan & Creative Ideas menerima 32 penyertaan di peringkat awal dan hanya enam disenarai pendek untuk ke peringkat akhir bagi merebut hadiah utama RM100,000.