UDA tunggu pelawaan




JOHOR BAHRU 13 Feb. – UDA Holdings Bhd. (UDA) menyatakan kesediaannya untuk melibatkan diri dalam projek pembangunan Danga Bay yang melibatkan tanah seluas lebih 1,200 hektar di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM80 bilion.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan, UDA memiliki kepakaran dalam projek yang akan dimajukan kerajaan negeri dan Iskandar Waterfront Holdings Bhd. (IWH).
“UDA sebagai agensi kerajaan boleh memainkan peranan dalam pembangunan Danga Bay, cuma kita belum dijemput menyertainya. Namun, jika diberi peluang, UDA Holding amat mengalu-alukannya,” katanya di sini semalam.
Pembangunan pesisir pantai Danga Bay di atas tapak seluas 1,200 hektar di sini itu akan dibangunkan oleh IWH dengan kerajaan negeri menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).
Projek yang akan dibangunkan dalam tempoh beberapa tahun itu bakal menarik minat syarikat pemaju hartanah antarabangsa, sekali gus mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi utama negeri ini.
Tambahnya, UDA yang telah memainkan peranan dalam pembangunan Johor Bahru sejak tahun 1975 mempunyai projek hartanah berhampiran Danga Bay, iaitu di Bandar Baru Uda dan Uda Utama.
Oleh sebab, sebahagian kawasan Danga Bay yang akan dibangunkan itu terletak di kawasan Parlimen Pulai, Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen kawasan tersebut mengalu-alukan projek berkenaan kerana ia mampu melonjakkan ekonomi negeri ini.
“Namun, pada masa sama kita juga bimbang harga rumah di Pulai dan Johor Bahru akan melonjak berikutan permintaan terhadap rumah dijangka meningkat ekoran kerancakan pembangunan di Danga Bay.
“Justeru, saya berharap supaya kerajaan dapat menyediakan rumah mampu milik di situ sejajar usaha memastikan acuan kaum sedia ada di kawasan Parlimen Johor Bahru dan Pulai dapat dikekalkan bagi menjamin kestabilan politik,” katanya.